Wednesday, August 1, 2018

Arul Kanda Memang Layak Dapat RM5 Juta - Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, berhak menerima gaji RM5 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Arul Kanda layak menikmati gaji itu dengan mengambil kira kelayakan dan prestasinya.

"Arul Kanda menerima bayaran jauh lebih besar ketika bekerja di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyertai 1MDB.

"Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan gaji besar itu dan menyertai 1MDB.


"Ketika di 1MDB, Arul berjaya mengurangkan hutang daripada RM50 bilion kepada RM20 bilion. Jadi, beliau melaksanakan sebahagian tugasnya di syarikat berkenaan.

"Lihat bayaran (gaji) Arul dalam konteks beliau dibayar jumlah yang kecil di 1MDB berbanding nilai lebih besar sebelum menyertai 1MDB," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam Dewan Rakyat semalam bahawa gaji diterima Arul bernilai RM5 juta bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Najib turut menafikan dakwaan sebuah portal berita beliau kerap ke China untuk berjumpa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau menjawab: "No (tidak)."


EmoticonEmoticon