Tuesday, July 3, 2018

SPRM Dan Pasukan Khas 1MDB Sahkan Najib Sudah Ditangkap Dan Akan Didakwa Pagi Esok


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari kediaman peribadinya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull mengesahkan perkara itu kepada media.

Kenyataan media yang dikeluarkan Pasukan Petugas Khas 1MDB  mengesahkan tangkapan itu dibuat pukul 2.35 petang tadi.

Pasukan Petugas Khas 1MDB hanya menahan Najib seorang dan dijangka dihadapkan ke mahkamah esok untuk tindakan pertuduhan.

Tangkapan ke atas Najib oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB adalah berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia.

Mereka yang terbabit menahan Najib di kediamannya di Jalan Langgak Duta, terdiri dari pegawai SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara.

Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB, dalam satu kenyataan mengesahkan membuat tangkapan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekitar jam 3 petang berkaitan SRC International Sdn Bhd.

"Najib akan dituduh pada 4 Julai 2018 (esok) pada jam 8.30 pagi di Mahkamah Kuala Lumpur," katanya.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dianggotai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.


EmoticonEmoticon