Saturday, July 7, 2018

'Malaysia Baharu' Harus Lebih Baik Dari Kerajaan Terdahulu - Tun M


KUALA LUMPUR: 'Malaysia Baharu' yang kini dilabelkan sebagai kerajaan baharu Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, pastinya lebih baik dari kerajaan yang memerintah sebelum ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Malaysia Baharu adalah penambahbaikan pada masa saya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun," katanya dalam temubual dengan Investvine, portal berita perniagaan Hong Kong yang membuat liputan terutama mengenai Asia Tenggara.

Beliau merujuk kepada tugas pertamanya sebagai perdana menteri sehingga November 2003.

Dr Mahathir berkata, Malaysia Baharu bermakna kerajaan perlu kembali kepada demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan menghormati kehendak rakyat.

"Mereka (rakyat) telah menunjukkan bahawa mereka tidak menyukai kerajaan terdahulu, dan sudah tentu kita perlu mengambil tindakan pembetulan untuk membawa negara kembali ke landasan yang asal.

"Pada masa lalu, penjawat awam, contohnya, tidak terlibat dalam politik, tetapi mereka berada di sana untuk menjalankan dasar dan peraturan pemerintah dan bukan menjadi ahli parti.



"Tetapi agak jelas bahawa dalam tempoh 10 tahun yang lalu, kakitangan awam telah berubah begitu banyak sehingga mereka secara terbuka dilihat berkempen untuk kerajaan dan ia adalah salah.

"Ia menjadikan mereka berat sebelah dan ia membuatkan mereka mahu memastikan kerajaan sebelumnya menang (pilihan raya), kadang-kadang dengan melakukan perkara yang salah," katanya.

Dalam temubual bersama pengarah Investvine, Imran Saddique dan wartawan Firoz Abdul Hamid, perdana menteri juga bercakap mengenai rasuah dalam perkhidmatan awam.

"Mereka melihat peluang untuk mendapatkan wang untuk diri mereka sendiri dan tidak teragak-agak untuk menjauhkan diri dari godaan sedemikian.

"Melihat pemimpin kerajaan sendiri yang dituduh rasuah, kita mendapati banyak daripada mereka terlibat dalam kegiatan rasuah dan tentu saja kita tidak boleh mereka berterusan sedemikian kerana persepsi terhadap sesuatu perkara, etika mereka terhadap perkara yang bukan dijangka dari penjawat awam," katanya.

Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan baharu tidak membalas dendam dengan membuang mereka tetapi apabila seseorang atau pegawai itu terlibat dalam salah laku, adalah salah bagi kerajaan untuk mengekalkan mereka.

"Mereka yang telus, dikekalkan. Kadang-kadang sukar untuk menggantikan pegawai-pegawai pada masa ini kerana di bawah mereka juga akan terdapat pegawai yang terbabit rasuah. Kadang-kadang kita perlu turun tiga atau empat langkah sebelum kita dapat mencari seorang pegawai yang tidak terlibat.

"Jadi, proses itu mengambil sedikit masa kerana tanpa pemimpin atau ketua kerajaan yang bersih, kita tidak akan dapat membawa pembaharuan dan peraturan undang-undang untuk diamalkan," katanya. - Mstar Online


EmoticonEmoticon