Tuesday, July 31, 2018

Kerajaan Baru PH Dikecam, Menteri-menteri Baru Dikutuk


KERAJAAN PH hanya baru dua bulan diberi mandat untuk mentadbir-urus negara. Umurnya dikira belum pun sampai setahun jagung tetapi pihak pembankang, khususnya Umno dan Pas, sudah pun berkejaran untuk membuat penilaian dan penghakiman ke atas prestasi PH dan menteri-menteri Kabinet. Sekaligus menjatuhkan hukuman bahawa PH telah gagal mengendalikan negara ini.

Padahal kerajaan baharu ini langsung tidak diberi masa yang munasabah dan ruang yang cukup untuk membuktikan kemampuan serta kewibawaan. Ibarat belum sempat duduk sudah disuruh berlunjur, nelum berkenalan sudah disuruh kawin, mengandung belum sampai sembilan bulan sudah disuruh melahirkan bayi.

Kecelaruan dan kerosakan yang berlaku selama enam dekad semasa pemerintahan Umno/Perikatan dan Umno/BN bagaikan hendak disorok di bawah karpet. Teringat kepada bidalan, mengata dulang paku serpih mengata orang kita yang lebih.

Tun M pikul tanggung jawab beri penjelasan

Kecaman ke atas kerajaan PH berlaku sejak daripada awal lagi. Bermula dengan pelantikan Tun M sebagai PM ke-7, pembentukan barisan Kabinet, pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim serta Speaker Dewan Rakyat dan lain-lain yang semuanya dipertikaikan dengan berbagai alasan dan hujah - yang kebanyakan tidak rasional dan mempunyai asas-asas yang kukuh. Termasuk persoalan tentang agama, keturunan, bangsa dan penguasaan Bahasa Melayu calon-calon yang dipilih.

Beban untuk menjawab dan menyangkal kecaman serta kritikan tersebut pastinya digalas oleh Tun M selaku PM dan pemimpin utama PH. Daripada reaksi rakyat jelata, kita boleh membuat kesimpulan bahawa mereka memberi sokongan yang padu kepada Tun M. Nampaknya jarum dan hasutan pihak-pihak pembangkang tidak berhasil, malah langsung tidak mengena. Mereka terpaksa menggigit jari dan berputih mata.

Kemudian timbul pula cemuhan tentang kegagalan kerajaan PH untuk menunaikan manifesto PRU14. Fasa pertama melibatkan 10 janji yang mahu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, Fasa kedua terdapat 60 janji untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.


Sekali lagi Tun M dan pemimpin-pemimpin atasan PH terpaksa turun padang untuk menagkis dan membuat penjelasan tentang kritikan-kritikan yang dilemparkan. Bahawa masalah-masalah yang ditinggalkan Najib dan rejimnya adalah jauh lebih serius daripada apa yang dijangkakan. Hutang dan tanggungan RM1 trilion adalah jauh lebih besar daripada angka RM600 bilion yang diwar-warkan Najib. Sekaligus menganggu-gugat unjuran dan perancangan asal PH. Rakyat jelata nampaknya boleh menerima penjelasan yang diberi kerajaan.  Mereka setuju bahawa PH perlu diberi masa yang munasabah dan ruang yang cukup untuk menunai dan melaksanakan janji-janji tersebut.  

Seterusnya timbul pula pertikaian tentang cara dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan PH didalam menyelesaikan masaalah-masalah yang ditinggalkan oleh Najib dan rejimnya serta cara mengurus tadbir negara.

Pihak pembankang tidak dapat menerima pendekatan kerajaan PH dalam mendedahkan secara telus dan terbuka masalah-masalah yang mencengkam negara. Daripada pendedahan tentang kedudukan kewangan negara, kewujudan fail merah yang amat sulit, surat sulit kepada CIA, perihal sebenar 1MDB, projek-projek mega seperti HSRL, ERCL, Felda, paip gas, PFI dan lain-lain lagi serta keputusan kerajaan untuk menyemak kembali projek tersebut semuanya mendapat kecaman daripada pihak pembankang, khususnya Umno.

Timbul juga tuduhan lucu bahawa kerajaan PH telah mensabotaj, menghalang atau sengaja  menyulitkan 1MDB dalam proses penstrukturan semula 1MDB.

Jawapan dan reaksi rakyat dalam hal-hal ini juga agak jelas dan nyata. Bahawa mereka mahukan pendekatan yang berpaksikan kepada ketelusan dan kejujuran didalam usaha-usaha menyelesaikan masalah-masalah negara.

Pemimpin-pemimpin BN mungkin sudah terlalu biasa dengan cara dan kaedah lama yang tidak telus. Dengan menyembunyikan fakta,  memberi penjelasan yang mengelirukan atau mengabui mata rakyat dengan cerita-cerita dongeng seperti wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib, yang kononnya adalah derma daripada seorang ‘Putera Arab’.

Menteri-menteri baru jadi sasaran

Ramai menteri-menteri baru dikutuk  dan dikecam dengan teruknya. Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan menjadi sasaran  utama kerana kelantangan dan ketegasannya. Agama, keturunan dan bangsanya menjadi pertikaian. Rekod cemerlang dan prestasi unggulnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dianggap tidak memberi sebarang erti.  Sentimen perkauman yang tebal merasuk minda dan jiwa raga mereka.  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan  Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin juga tidak terlepas daripada kritikan yang sama.

Pelantikan Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan diperlekehkan kerana usia mudanya. Kononnya anak muda berusia 25 tahun ini tiada rekod kerja dan pengalaman yang cukup untuk menjadi seorang menteri Kabinet. Sehingga babak beliau membersih sampah di stadium juga dipertikaikan. Begitu cara beliau menangani isu pelantikan dan pengunduran pembatunya Numan Afifi yang dikaitkan dengan aktiviti LGBT.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dikutuk hebat kerana isu UEC dan dipelekehkan kerana isu kasut hitam. Lebih menyedihkan apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, Zuraidah Kamaruddin digelar sebagai Mak Lampir!

Mat Sabu dicemuh tentang kelayakan dan pencapaian akademiknya. Beliau dikatakan tidak layak menjadi Menteri Pertahanan kerana belajar Seni Kulinari di Institut Teknologi Mara, malah Najib menggelarnya ‘menteri kartun’.

Council of Eminent Persons, khususnya Tun Daim Zainuddin ikut dipersoalkan, diungkit dan menjadi bahan debat di Parlimen.

Respons dan reaksi rakyat

Sekali lagi rakyat memberi respons dan jawapan yang jelas dan nyata dalam hal ini. Mereka mahu memberi masa yang munasabah dan ruang yang cukup kepada barisan menteri, termasuk menteri-menteri tersebut diatas untuk membukti kewibawaan masing-masing. Untuk menilai dan menjatuhkan hukuman dalam masa yang begitu singkat bukan sahaja tidak wajar malah adalah tidak adil sama sekali.  

Cabaran seterusnya

Kerajaan PH dan barisan menteri akan terus diasak dan dipertikaikan oleh pihak-pihak pembangkang. Namun begitu, kerajaan PH dan barisan menteri perlu teruskan tumpuan mereka dalam agenda menjana perubahan dan pembaharuan tadbir-urus negara dengan telus dan amanah agar negara dan kepentingan rakyat terus terjaga dengan baiknya.

Mereka tidak perlu rasa bimbang dengan agenda desparado pihak pembankang. Pun begitu rakyat jelata perlu diberi penjelasan dan pengcerahan tentang isu-isu yang dibangkitkan dari masa ke semasa agar mereka tidak dipesong atau dikelirukan oleh dakyah dan fitnah puak-puak yang kecewa, yang masih trauma kejutan dan igauan ngeri ekoran kekalahan mereka semasa PRU 14. Barangkali PH juga perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk menerima realiti semasa.

Sumber: Sinar Harian


EmoticonEmoticon