Monday, July 2, 2018

"Jangan Babitkan Ibu Saya" - Noorkhiriah, Tak Sangka Langsung Ini Punca Kecaman!


KUALA LUMPUR: Pelakon, Noorkhiriah Ahmad Shapie terkilan apabila ibunya turut menjadi mangsa kecaman segelintir peminat yang tidak senang dengan karakter kontroversi yang dibawanya dalam drama, Nur.

Noorkhiriah, 42, berkata, pada mulanya dia tidak ambil peduli pelbagai kata kesat yang dihantar menerusi mesej peribadi di laman sosial. Namun, terpaksa bersuara apabila emaknya yang tidak berdosa turut dikaitkan sama.

“Mengapa mahu babitkan emak saya dalam hal ini? Saya tidak kisah dikecam, malah sudah bersedia menerimanya apabila membawa watak wanita bertudung labuh yang jahat. Tetapi, apabila sampai tahap mencaci dan memaki emak saya, saya tidak boleh menerimanya,” katanya.

Pelakon yang pernah tiga kali menjulang trofi Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) itu bagaimanapun, tidak menafikan, ia berlaku mungkin kerana penonton sukar menerima karakter itu kerana sebelum ini, dia lebih dikenali dengan watak komedi dan gila-gila.

Namun, ibu kepada dua cahaya mata lelaki itu mengakui, watak Aishah memberikannya kepuasan maksimum kerana bukan mudah untuk menggambarkan wanita bertudung labuh memegang karakter antagonis.


“Dalam hal ini, saya memuji usaha pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin yang berjaya membentuk saya menghidupkan lagi watak itu. Kita kena terima hakikat, karakter seperti Aishah adalah realiti masa kini,” katanya.

Biarpun ramai memuji keberkesanan watak yang dibawanya dalam drama itu, Noorkhiriah mengakui, terdapat segelintir pihak yang kurang senang apabila dia kembali berlakon selepas setahun berehat.

“Memang ada pihak yang marah-marah apabila saya mengambil keputusan untuk kembali berlakon. Kata mereka, saya tidak tetap pendirian. Tidak dinafikan, ketika keputusan untuk berehat dibuat, emosi saya tidak stabil.

“Berikutan itu, terkeluar kenyataan saya mahu bersara daripada lakonan. Sedangkan, jiwa saya sudah sebati dengan bidang ini. Apabila menerima tawaran mengacara dan membintangi Nur, saya dapat rasakan, ini sebenarnya jiwa saya,” katanya.

Mengharapkan rezekinya dalam bidang lakonan akan dipermudahkan, Noorkhiriah berkata, dia berbangga dapat membuktikan pelakon bertudung juga mampu mempelbagaikan karakter, asalkan pengarah berani menongkah arus.


EmoticonEmoticon