Thursday, June 21, 2018

Yuna Rai Syawal Pertama Sebagai Isteri Di Lapangan Terbang


KUALA LUMPUR: Penyanyi Yunalis Zarai, 32, mengakui cemburu apabila melihat umat Islam lain memuat naik foto meraikan pagi Aidilfitri penuh ceria bersama keluarga tercinta, sedangkan dia dan suami, Adam Sinclair, 34, hanya menyambutnya di lapangan terbang.

Kali pertama meraikan 1 Syawal sebagai isteri, penyanyi yang mesra disapa Yuna itu berkata, mereka menyambut Aidilfitri di lapangan terbang di Jepun ketika menanti penerbangan seterusnya ke tanah air dari Los Angeles, Amerika Syarikat.

"Saya cemburu melihat gambar yang dimuat naik di laman sosial. Ketika orang lain ceria meraikan Aidilfitri bersama keluarga sambil menikmati pelbagai juadah menyelerakan, saya dan suami pula hanya minum kopi di lapangan terbang.

"Tetapi, saya tidak sunyi kerana suami ada di sisi. Hanya pada raya kedua, baru kami berpeluang meraikannya bersama keluarga mentua di Shah Alam dan keesokannya, pulang ke kampung saya di Batu Gajah dan Sayong, Perak selama dua hari.

"Biarpun singkat, kami sempat meluangkan masa pergi bercuti bersama keluarga Adam di Pulau Langkawi," kata penyanyi yang popular dengan lagu Dan Sebenarnya dan Crush itu.

Ditemui pada majlis pelancaran filem pendek Pantene, Wanita Besi, di sini, Yuna yang turut diumumkan sebagai duta jenama itu diijabkabulkan dengan Adam pada 26 Januari lalu mengakui, hidupnya lebih bermakna selepas mendirikan rumah tangga.

Yuna berkata, dia kini tidak lagi bersendirian kerana mempunyai teman yang setia menemaninya ketika berjauhan daripada keluarga tercinta.

Mengulas mengenai cahaya mata, Yuna berkata, dia dan suami tidak menolak jika dianugerahkan rezeki yang tidak ternilai itu dalam masa terdekat.

Tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata, kesibukan dalam menguruskan kerjaya membuatkan Yuna ingin terlebih dahulu mahu memberikan fokus kepada karier muzik.

"Ketika ini, saya masih sibuk dengan pembikinan album baharu yang dijangka menemui peminat akhir tahun ini, selain memenuhi undangan persembahan. Ia membuatkan saya terfikir untuk memberikan fokus kepada karier seni dahulu.

"Saya mahukan kesempurnaan dalam penghasilan album, jadi fokus lebih diberikan terhadap usaha terbaru ini. Sudah pasti, sebagai wanita yang sudah berumah tangga, saya juga mempunyai impian untuk menjadi ibu.

"Saya dan suami tidak pernah merancang dalam hal ini. Jika diberikan Allah rezeki untuk hamil dalam masa terdekat, pasti saya menerimanya dengan gembira. Selagi belum ada rezeki, saya tumpukan dahulu perhatian kepada membina kerjaya," katanya.


EmoticonEmoticon