Thursday, June 21, 2018

UMNO persoal, Kit Siang, Guan Eng


KUALA LUMPUR: UMNO menuntut penjelasan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berhubung keengganannya untuk tidak meneruskan siasatan terhadap skandal yang didakwa berkait rapat dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan Kit Siang tidak menyentuh langsung tuntutan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai peristiwa Memali, skandal tukaran asing (Forex), dakwaan Dr Mahathir mempunyai simpanan RM83 bilion di luar negara, kekayaan tiga anaknya dan lain-lain lagi.

"Ironinya, kenapa siasatan kes rasuah ke atas Lim Guan Eng (ketika memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang) dianggap tiada kes dan perangkap politik kerajaan BN (Barisan Nasional)?

"Kenapa tidak disiasat sepenuhnya sedangkan kes itu seakan-akan sama dengan kes Dr Mohamad Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor).

"Adakah kes itu akan digugurkan setelah mereka menguasai sistem kehakiman dengan pemecatan Ketua Hakim Negara, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan, di samping menukar bos SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan lain-lain?" kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, UMNO turut mempersoalkan tindakan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

"Apakah bidang tugas Guan Eng sebenarnya sebagai Menteri Kewangan? Tidakkah beliau boleh membuat sebarang cadangan kepada Kabinet daripada hanya membongkar kesalahan kerajaan lalu atas arahan Perdana Menteri?

"Menteri Kewangan sepatutnya memikirkan formula yang berkesan untuk meningkatkan semula ekonomi negara dan menarik semula keyakinan pelabur asing," katanya.

UMNO juga terus mempersoalkan tindakan kerajaan adakah memadai untuk mencari siapa di belakang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kesan daripada penyiasatan ke atas syarikat berkenaan, UMNO mendakwa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kehilangan RM6 bilion dalam pelaburan ekuiti di Bursa Malaysia sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Apa usaha Guan Eng dan penasihatnya di Kementerian Kewangan seperti Tony Pua untuk melonjakkan semua pasaran saham di Bursa Malaysia yang menyaksikan penarikan keluar modal asing yang begitu besar serta kejatuhan nilai ringgit yang kini melepasi paras RM4 bagi satu dolar Amerika?

"Di sisi ekonomi, bolehkah wang kutipan sedekah Tabung Harapan Malaysia digunakan untuk melunaskan hutang kerajaan yang didakwanya melebihi RM1 trilion," katanya.


EmoticonEmoticon