Friday, June 22, 2018

UMNO Mahu PH Kembalikan Keyakinan Pelabur


KUALA LUMPUR: Penyusutan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) daripada AS$108.5 bilion pada 31 Mei kepada AS$107.9 bilion, adalah menggusarkan.

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan jumlah itu adalah jauh lebih rendah berbanding rizab negara berjumlah AS$110 bilion ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pada April lalu.

Katanya, penarikan balik dana asing di Bursa Malaysia berjumlah RM2.48 bilion, kerugian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM6 bilion dalam bentuk pelaburan dan nilai ringgit yang jatuh daripada 3.91 kepada 4.01 bagi sedolar AS, bukan satu kebetulan.

"Ini bukannya salah BN dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Ketika semua pelan pembangunan dan penarikan minat pelabur asing memuncak di zamannya, Pakatan Harapan (PH) cuba memusnahkannya.

"Pengakuan PH bahawa bukan semua manifesto yang dibuat ketika PRU-14 dapat ditunaikan, pelabur asing melihat 'helah politik' PH adalah lebih kepada mencari kesalahan kerajaan silam, dan bukannya merangka strategi untuk pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suasana keyakinan dalam pasaran serta pelaburan.

"Pembohongan berterusan mengenai kaitan Najib dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pembentukan Tabung Harapan (Malaysia) serta putar-belit mereka mengenai ekonomi negara, menggusarkan pelabur asing untuk terus menanam modal atau menyuntik modal baru di Malaysia," katanya.

UMNO turut mempersoalkan kebijaksanaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sebelum ini ditonjolkan sebagai begitu berjaya dalam menguruskan ekonomi Pulau Pinang.

"Kalau setakat untuk mengorek kesalahan pentadbiran silam, sesiapa pun boleh jadi Menteri Kewangan. Sepatutnya sebagai Menteri Kewangan yang berkaliber dan berwawasan, Guan Eng perlu mengadakan segera pertemuan dengan pengurus asing bagi mengembalikan keyakinan mereka untuk terus melabur di pasaran saham Malaysia.

"Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri terpaksa mengkitar semula Dasar Pandang ke Timurnya dan merayu bantuan pinjaman dari Jepun.

"Dasar jimat-cermatnya pula diragui dengan pelan kereta nasional yang baru dan peranan Guan Eng sebagai menteri kewangan, yang tugasnya hanya mencari kesalahan lalu, tanpa sedikit pun usaha untuk membangunkan ekonomi negara," katanya.

UMNO berkata setiap kemelut yang berlaku kebelakangan ini adalah berpunca daripada PH sendiri.

"PH hanya ada diri sendiri untuk dipersalahkan. Penipuan dan propaganda bohong yang merendah serta memperkecilkan negara sendiri di luar negara, mula menampakkan 'hasil' yang mereka inginkan.

"Ekonomi negara yang bankrap serta lain-lain pembohongan fakta selama empat tahun, kini menjerumuskan PH ke dalam kesukaran untuk menunaikan janji dan menarik semula keyakinan pelabur.

"Biarpun menggunakan 'kami kerajaan baru' sebagai helah untuk mengabui mata rakyat, kesedaran mulai timbul betapa mereka sebenarnya menggunakan kesempatan ini untuk mentadbir dalam gelap semata-mata.

"Sampai bilakah pembohongan dan putar-belit ini akan digunakan untuk terus menipu rakyat dan pengundi?

"Dan sampai manakah Dr Mahathir merasakan kabinetnya dianggotai oleh mereka yang benar-benar berguna kepada rakyat dan negara?

"Taktik mereka (PH) selama ini sudah mula memakan diri. Pelabur asing mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat kepada perkembangan pasaran tempatan, atau mungkin mengalihkan perhatian kepada negara lain.

"Oleh itu, apa inisiatif PH untuk menarik dan meyakinkan pelabur luar ? Menyalahkan orang lain amat mudah tetapi mengakui silap sendiri memang sukar dibuat," katanya.


EmoticonEmoticon