Thursday, June 21, 2018

Terpedaya Dengan Janji Manis. Guru Rugi RM65,000 Dalam Pelaburan Emas


KUANTAN: Akibat terpedaya dengan dividen sebanyak RM4,000 sebulan, seorang guru lelaki kerugian RM45,000 selepas ditipu seorang lelaki dalam urusan pelaburan emas, sejak empat tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula pada Jun 2014 apabila mangsa berusia 33 tahun tertarik untuk menyertai pelaburan emas atas nama Terima Emas Berdiskaun diperkenalkan seorang lelaki melalui laman sosial Facebook (FB).

"Mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM65,000 ke dalam akaun suspek pada 17 Jun 2014. Namun, mangsa hanya menerima pulangan wang berkenaan secara berperingkat sebanyak RM20,000 dan kali terakhir diterima pada Ogos 2015.

"Pada September 2015, suspek memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai masalah kewangan dan akan cuba untuk membuat bayaran secepat mungkin, namun mangsa tidak menerima apa-apa pulangan sehingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, guru itu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, kelmarin selepas tidak memperoleh pulangan seperti dijanjikan suspek.

Katanya, mangsa cuba menghubungi suspek sejak November lalu, namun gagal.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 33 tahun mengalami kerugian RM7,700 selepas diperdaya sindiket 'Love Scam' menawarkan pelbagai hadiah mewah di sini Mac lalu.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang tinggal di FELDA Bukit Sagu dekat sini, berkenalan dengan seorang lelaki melalui laman sosial FB pada Mac lalu.

"Suspek menggunakan nama 'Halim Alex' yang mendakwa berasal dari Brunei dan bekerja di England. Suspek memaklumkan mangsa kononnya dia ada menghantar bungkusan mengandungi beg, telefon bimbit dan jam tangan untuk mangsa.

"Rakan subahat suspek kemudiannya menghubungi mangsa dan memaklumkan mangsa perlu membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan bungkusan berkenaan.

"Mangsa yang termakan dengan pujukan itu kemudiannya membuat bayaran berjumlah RM7,700 dan hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima bungkusan dijanjikan suspek," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di IPD Kuantan, di sini, semalam dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


EmoticonEmoticon