Friday, June 22, 2018

`Saya Nak Basuh Tapak Kaki Suami, Syurga Saya'


DUNGUN: "Saya nak basuh sendiri tapak kaki suami kerana tapak kakinya adalah syurga saya," kata Siti Aisyah Suhaimi, 36.

Itu permintaan balu Tengku Mohd Rosli Tengku Jaafar, 43, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Pasir Raja, dekat Kampung Kuala Jengai, di sini, petang tadi.

Permintaan itu disuarakan Siti Aisyah kepada pegawai penjaga Bilik Forensik Hospital Dungun sebelum urusan memandikan jenazah sebaik selesai bedah siasat ke atas mayat mangsa yang maut di lokasi kejadian.

Tengku Mohd Rosli yang juga seorang mekanik jentera berat maut selepas kereta PROTON Wira dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik dan terhumban ke dalam gaung sedalam lima meter di lokasi kejadian, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Siti Aisyah berkata, ketika kejadian suaminya dalam perjalanan membaiki jentera di Felda Semaring, di sini, kira-kira 16 kilometer dari rumah mereka di Kuala Jengai.

"Dia pulang makan tengah hari dan sangat berselera dengan menu masak asam pedas kegemarannya bersama lima anak kami berusia lima tahun hingga 12 tahun.

"Arwah tidak menunjukkan perbuatan pelik, sebaliknya kelihatan gembira ketika kami makan beramai-ramai," katanya.

Katanya, selepas makan suaminya mahu kembali ke tempat kerja, sebelum beliau menerima panggilan 15 minit kemudian memaklumkan suaminya maut dalam kemalangan.

Suri rumah itu berkata, dia terkilan kerana tidak sempat meminta maaf kepada suaminya ketika suaminya itu ke tempat kerja.

"Saya tak sangka dia tergesa-gesa mahu kembali ke tempat kerja membawa petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah, Jaswari Awang ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 3.35 petang.

"Sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk," katanya.


EmoticonEmoticon