Friday, June 22, 2018

'Keluarga Shahir Cuma Datang Beraya...'


PETALING JAYA: Aktres terkenal, Erra Fazira, menegaskan kunjungan keluarga Shahir ke rumahnya pada 1 Syawal lalu hanya untuk beraya dan ia bukan rombongan merisik.

Kata Erra, 44, pada pertemuan itu juga, tiada sebarang perbincangan mengenai perancangan perkahwinan mereka dibangkitkan.

"Memang Shahir dan keluarganya ada datang ke rumah pada hari raya pertama lalu. Namun, ingin saya tegaskan, kunjungan itu sekadar untuk beraya. Tiada majlis merisik atau apa-apa yang berkaitan dengan hubungan kami.

"Malah, kami tidak berpakaian sedondon pun. Lagipun, saya dan keluarga Shahir sudah saling mengenali, jadi tiada masalah untuk mereka datang beraya," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran Bikin Filem, di sini hari ini.

Ditanya mengenai juadah istimewa dihidangkan untuk keluarga penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, pelakon dan penyanyi jelita ini berkata, tiada hidangan khas yang disediakan selain menu raya biasa.

Mengenai perkembangan hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan itu, Erra tetap tidak berganjak daripada jawapan pernah dikongsinya sebelum ini.

"Anda semua pasti akan kecewa dengan jawapan saya kerana tiada sebarang perkembangan terbaru (mengenai hubungan kami). Sebaliknya, kami masih kekal sebagai kawan," kata pelakon filem Sembilu ini.


EmoticonEmoticon