Thursday, June 21, 2018

Jangan Semata-mata Bongkarkan Skandal Najib! Ini Nasihat Penuh Anwar Ibrahim Pada Lim Guan Eng


PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu mengimbangi antara mendedahkan skandal dan memupuk keyakinan dalam kalangan pelabur.

Anwar, yang mengetuai kementerian itu dari 1991 hingga 1998 berkata, Lim mesti lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan kerana pelabur akan menggunakannya sebagai rujukan.

“Jadi, dia harus tumpu kepada menenangkan pelabur dan memupuk keyakinan dalam kalangan mereka,” katanya kepada Astro Awani.

Anwar berkata dalam senario sekarang, para menteri nampaknya bertanggungjawab untuk mendedahkan urus janji dan pembohonan kerajaan dulu.

Namun bekas timbalan perdana menteri ini berpandangan Lim, yang juga setiausaha agung DAP, boleh mewakilkan pendedahan itu kepada orang lain, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beberapa hari lepas, Lim berkata satu lagi skandal besar “berkaitan Kementerian Kewangan” akan didedahkan tidak lama lagi, dan menambah para pegawainya menjangkakan lebih banyak lagi skandal akan terbongkar – semua itu berlaku dalam 100 hari pertama kerajaan ini.

Kenyataan Anwar ini menyusuli kritikan Lim terhadap Perkhidmatan Pelaburan Moody’s kerana laporan agensi itu yang menurut Lim tidak mendedahkan takat sebenar hutang kerajaan.

Laporan oleh agensi penarafan itu mengandungi analisis tentang kesan dasar-dasar kerajaan sekarang ke atas profil kredit negara. Satu laporan oleh Bernama memetik Lim sebagai berkata kerajaan tidak pernah menafikan hutang langsung kerajaan ialah RM687 bilion.

“Ini dengan sendirinya menunjukkan mereka (Moody’s) sedar akan jaminan kerajaan yang sudah menjadi hutang langsung berganda. Ini seharusnya diambil kira apabila anda mendedahkan tahap sebenar hutang kerajaan,” katanya menurut laporan itu.

Kenyataan Anwar ini sebulan selepas penulis kolum Bloomberg, Andy Mukherjee berkata, Lim harus lebih bijaksana menangani siasatan 1MDB.


EmoticonEmoticon