Friday, June 22, 2018

Elaun Sara Hidup Nelayan Diteruskan


PUTRAJAYA: Pemberian Elaun Sara Hidup (ESH) secara bulanan kepada nelayan tidak akan dihentikan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, bantuan yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dihentikan sebelum ini adalah merujuk kepada insentif tunai secara 'one-off', yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada nelayan sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri hasil perbincangan antara kementeriannya dengan Pejabat Perdana Menteri.

"Perdana Menteri juga merujuk pemberian yang dibuat itu menggunakan wang daripada sumber yang meragukan.

"Kenyataan Perdana Menteri tidak membabitkan pemberian lain dan ini termasuk ESH nelayan yang termaktub sebagai program di bawah kementerian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyebut, Perdana Menteri berkata, kerajaan berhasrat memansuhkan bantuan bulanan kepada 57,000 nelayan.

Salahuddin berkata, ESH kepada nelayan yang berjumlah antara RM200 dan RM300 sudah bermula sejak Jun 2008, bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup nelayan.


EmoticonEmoticon