Monday, August 6, 2018

Pelakon Gerak Khas - Nizen Ayob Meninggal Dunia


PETALING JAYA: Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas, Nizen Ayob meninggal dunia pada pukul 11.55 pagi Isnin di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

Menurut pelakon Salina Saibi, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang.

"Saya dimaklumkan oleh kakak ipar arwah, doktor telah mengesahkan Nizen meninggal dunia kerana masalah buah pinggang.

"Jenazahnya akan dimandi dan dikafankan di hospital sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Johor," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, berita sedih itu turut dikongsi pelakon Sheera Iskandar menerusi laman Instagramnya.


"Innalillahiwainailaihirojiun. Sahabat kami Nizen Ayob baru sahaja pergi menghadap Illahi.


Sheera berkongsi berita sedih di laman Instagranya.

"Mohon doa dari semua moga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang orang yang beriman. Amin.

"Semoga kau tenang di sana Nizen. Al Fatihah," tulis Sheera. 

Sebelum ini, Nizen, 33, pernah mendedahkan dirinya telah disihir oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Allahyarham membuat pendedahan tersebut menerusi laman Instagramnya dengan memuat naik foto sebatang paku berkarat dan objek hitam yang tidak dapat dikenal pasti selain kecederaan di dahinya ketika berubat.

Beliau pernah mendapatkan rawatan perubatan Islam untuk merawat penyakit misteri yang dihidapinya pada awal Mei tahun lalu.

Objek serupa dan beberapa batang paku berkarat didakwa telah dikeluarkan daripada badannya.

Sumber: Mstar Online

Wednesday, August 1, 2018

Arul Kanda Memang Layak Dapat RM5 Juta - Najib


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, berhak menerima gaji RM5 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Arul Kanda layak menikmati gaji itu dengan mengambil kira kelayakan dan prestasinya.

"Arul Kanda menerima bayaran jauh lebih besar ketika bekerja di sebuah bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyertai 1MDB.

"Bagaimanapun, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan gaji besar itu dan menyertai 1MDB.


"Ketika di 1MDB, Arul berjaya mengurangkan hutang daripada RM50 bilion kepada RM20 bilion. Jadi, beliau melaksanakan sebahagian tugasnya di syarikat berkenaan.

"Lihat bayaran (gaji) Arul dalam konteks beliau dibayar jumlah yang kecil di 1MDB berbanding nilai lebih besar sebelum menyertai 1MDB," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dalam Dewan Rakyat semalam bahawa gaji diterima Arul bernilai RM5 juta bagi tempoh Januari hingga Jun lalu.

Najib turut menafikan dakwaan sebuah portal berita beliau kerap ke China untuk berjumpa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau menjawab: "No (tidak)."

Tuesday, July 31, 2018

Pendatang Tanpa Izin Jadikan Negara Ini Pusat Barang Tiruan - KP Imigresen


LABUAN - Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi usahawan dalam sekelip mata menjadikan bandar di negara ini pusat jualan bagi pelbagai  barang tiruan, kata Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, perkara itu perlu ditangani dengan berkesan kerana penjualan barang tiruan secara terbuka memalukan dan memberi imej buruk kepada negara ini.


Pendatang yang menggunakan premis tempat mereka menjalankan perniagaan berkenaan juga didapati tidak mematuhi undang-undang kecil majlis tempatan daripada aspek kebersihan, jenis perniagaan dan pengubahsuaian yang dilakukan.

"Baru-baru ini saya menyertai datuk bandar Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dan kami dapati ada premis diubah suai secara haram untuk menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk sebuah bilik kecil yang dilengkapi katil kecil bagi tujuan pelacuran," katanya.

Mustafar berkata, operasi perlu dipertingkatkan bersama-sama majlis tempatan bagi membasmi aktiviti haram itu kerana ia menjadi penyakit masyarakat. - Bernama

Kerajaan Baru PH Dikecam, Menteri-menteri Baru Dikutuk


KERAJAAN PH hanya baru dua bulan diberi mandat untuk mentadbir-urus negara. Umurnya dikira belum pun sampai setahun jagung tetapi pihak pembankang, khususnya Umno dan Pas, sudah pun berkejaran untuk membuat penilaian dan penghakiman ke atas prestasi PH dan menteri-menteri Kabinet. Sekaligus menjatuhkan hukuman bahawa PH telah gagal mengendalikan negara ini.

Padahal kerajaan baharu ini langsung tidak diberi masa yang munasabah dan ruang yang cukup untuk membuktikan kemampuan serta kewibawaan. Ibarat belum sempat duduk sudah disuruh berlunjur, nelum berkenalan sudah disuruh kawin, mengandung belum sampai sembilan bulan sudah disuruh melahirkan bayi.

Kecelaruan dan kerosakan yang berlaku selama enam dekad semasa pemerintahan Umno/Perikatan dan Umno/BN bagaikan hendak disorok di bawah karpet. Teringat kepada bidalan, mengata dulang paku serpih mengata orang kita yang lebih.

Tun M pikul tanggung jawab beri penjelasan

Kecaman ke atas kerajaan PH berlaku sejak daripada awal lagi. Bermula dengan pelantikan Tun M sebagai PM ke-7, pembentukan barisan Kabinet, pelantikan Peguam Negara dan Ketua Hakim serta Speaker Dewan Rakyat dan lain-lain yang semuanya dipertikaikan dengan berbagai alasan dan hujah - yang kebanyakan tidak rasional dan mempunyai asas-asas yang kukuh. Termasuk persoalan tentang agama, keturunan, bangsa dan penguasaan Bahasa Melayu calon-calon yang dipilih.

Beban untuk menjawab dan menyangkal kecaman serta kritikan tersebut pastinya digalas oleh Tun M selaku PM dan pemimpin utama PH. Daripada reaksi rakyat jelata, kita boleh membuat kesimpulan bahawa mereka memberi sokongan yang padu kepada Tun M. Nampaknya jarum dan hasutan pihak-pihak pembangkang tidak berhasil, malah langsung tidak mengena. Mereka terpaksa menggigit jari dan berputih mata.

Kemudian timbul pula cemuhan tentang kegagalan kerajaan PH untuk menunaikan manifesto PRU14. Fasa pertama melibatkan 10 janji yang mahu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, Fasa kedua terdapat 60 janji untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun.


Sekali lagi Tun M dan pemimpin-pemimpin atasan PH terpaksa turun padang untuk menagkis dan membuat penjelasan tentang kritikan-kritikan yang dilemparkan. Bahawa masalah-masalah yang ditinggalkan Najib dan rejimnya adalah jauh lebih serius daripada apa yang dijangkakan. Hutang dan tanggungan RM1 trilion adalah jauh lebih besar daripada angka RM600 bilion yang diwar-warkan Najib. Sekaligus menganggu-gugat unjuran dan perancangan asal PH. Rakyat jelata nampaknya boleh menerima penjelasan yang diberi kerajaan.  Mereka setuju bahawa PH perlu diberi masa yang munasabah dan ruang yang cukup untuk menunai dan melaksanakan janji-janji tersebut.  

Seterusnya timbul pula pertikaian tentang cara dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan PH didalam menyelesaikan masaalah-masalah yang ditinggalkan oleh Najib dan rejimnya serta cara mengurus tadbir negara.

Pihak pembankang tidak dapat menerima pendekatan kerajaan PH dalam mendedahkan secara telus dan terbuka masalah-masalah yang mencengkam negara. Daripada pendedahan tentang kedudukan kewangan negara, kewujudan fail merah yang amat sulit, surat sulit kepada CIA, perihal sebenar 1MDB, projek-projek mega seperti HSRL, ERCL, Felda, paip gas, PFI dan lain-lain lagi serta keputusan kerajaan untuk menyemak kembali projek tersebut semuanya mendapat kecaman daripada pihak pembankang, khususnya Umno.

Timbul juga tuduhan lucu bahawa kerajaan PH telah mensabotaj, menghalang atau sengaja  menyulitkan 1MDB dalam proses penstrukturan semula 1MDB.

Jawapan dan reaksi rakyat dalam hal-hal ini juga agak jelas dan nyata. Bahawa mereka mahukan pendekatan yang berpaksikan kepada ketelusan dan kejujuran didalam usaha-usaha menyelesaikan masalah-masalah negara.

Pemimpin-pemimpin BN mungkin sudah terlalu biasa dengan cara dan kaedah lama yang tidak telus. Dengan menyembunyikan fakta,  memberi penjelasan yang mengelirukan atau mengabui mata rakyat dengan cerita-cerita dongeng seperti wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib, yang kononnya adalah derma daripada seorang ‘Putera Arab’.

Menteri-menteri baru jadi sasaran

Ramai menteri-menteri baru dikutuk  dan dikecam dengan teruknya. Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan menjadi sasaran  utama kerana kelantangan dan ketegasannya. Agama, keturunan dan bangsanya menjadi pertikaian. Rekod cemerlang dan prestasi unggulnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dianggap tidak memberi sebarang erti.  Sentimen perkauman yang tebal merasuk minda dan jiwa raga mereka.  Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan  Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin juga tidak terlepas daripada kritikan yang sama.

Pelantikan Syed Saddiq sebagai Menteri Belia dan Sukan diperlekehkan kerana usia mudanya. Kononnya anak muda berusia 25 tahun ini tiada rekod kerja dan pengalaman yang cukup untuk menjadi seorang menteri Kabinet. Sehingga babak beliau membersih sampah di stadium juga dipertikaikan. Begitu cara beliau menangani isu pelantikan dan pengunduran pembatunya Numan Afifi yang dikaitkan dengan aktiviti LGBT.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dikutuk hebat kerana isu UEC dan dipelekehkan kerana isu kasut hitam. Lebih menyedihkan apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, Zuraidah Kamaruddin digelar sebagai Mak Lampir!

Mat Sabu dicemuh tentang kelayakan dan pencapaian akademiknya. Beliau dikatakan tidak layak menjadi Menteri Pertahanan kerana belajar Seni Kulinari di Institut Teknologi Mara, malah Najib menggelarnya ‘menteri kartun’.

Council of Eminent Persons, khususnya Tun Daim Zainuddin ikut dipersoalkan, diungkit dan menjadi bahan debat di Parlimen.

Respons dan reaksi rakyat

Sekali lagi rakyat memberi respons dan jawapan yang jelas dan nyata dalam hal ini. Mereka mahu memberi masa yang munasabah dan ruang yang cukup kepada barisan menteri, termasuk menteri-menteri tersebut diatas untuk membukti kewibawaan masing-masing. Untuk menilai dan menjatuhkan hukuman dalam masa yang begitu singkat bukan sahaja tidak wajar malah adalah tidak adil sama sekali.  

Cabaran seterusnya

Kerajaan PH dan barisan menteri akan terus diasak dan dipertikaikan oleh pihak-pihak pembangkang. Namun begitu, kerajaan PH dan barisan menteri perlu teruskan tumpuan mereka dalam agenda menjana perubahan dan pembaharuan tadbir-urus negara dengan telus dan amanah agar negara dan kepentingan rakyat terus terjaga dengan baiknya.

Mereka tidak perlu rasa bimbang dengan agenda desparado pihak pembankang. Pun begitu rakyat jelata perlu diberi penjelasan dan pengcerahan tentang isu-isu yang dibangkitkan dari masa ke semasa agar mereka tidak dipesong atau dikelirukan oleh dakyah dan fitnah puak-puak yang kecewa, yang masih trauma kejutan dan igauan ngeri ekoran kekalahan mereka semasa PRU 14. Barangkali PH juga perlu memberi sedikit masa kepada mereka untuk menerima realiti semasa.

Sumber: Sinar Harian

Sultan Johor Ziarah Muhyiddin Di Hospital Singapura


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menziarahi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini menerima rawatan di sebuah hospital pakar swasta di Singapura.

Menurut catatan laman Facebook baginda iaitu Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda meluangkan masa hampir 30 minit bertanyakan khabar dan keadaan Muhyiddin yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas pada 12 Julai lepas.

Dalam pertemuan itu, baginda bertitah menasihati Muhyiddin supaya tidak bimbang dan tertekan sebaliknya menumpukan perhatian sepenuhnya dalam rawatannya.


"Saya mendoakan agar Tan Sri Muhyiddin cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas kerana khidmatnya diperlukan oleh rakyat dan negara," titah Sultan Ibrahim menerusi catatan berkenaan.

Baginda turut menasihati semua pihak supaya mengenepikan apa jua fahaman politik dan bersama-sama mendoakan kesihatan Muhyiddin.

Sultan Ibrahim turut berada di Singapura bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan akibat kecederaan lama ketika bermain sukan polo.

Hadir sama isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. - Bernama

Tuesday, July 24, 2018

Virus HFMD Ditemui Pada Troli Dan Kenderaan Mainan Di Pasar Raya


Virus penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kian menular ketika ini dan dilaporkan jumlah kes HFMD didapati meningkat secara mendadak di Pulau Pinang. Siasatan yang dijalankan oleh pegawai kesiahtan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengesan virus HFMD dikesan pada pemegang troli dan kenderaan mainan kanak-kanak yang disediakan di pasar raya, lapor The Star.

Minggu lalu, JKN telah mengarahkan pihak pasar raya di negeri itu membersihkan troli telah meminta pasar raya di Pulau Pinang supaya membersihkan troli, kenderaan mainan dan tempat duduk yang disediakan di premis mereka. 

"Hasil siasatan pihak kami, didapati salah satu punca jangkitan adalah dari pemegang troli dan alat permainan yang terdapat di pasar raya. 


"Sehubungan itu, pihak kami memohon kerjasama pihak tuan supaya dapat menjalankan kerja-kerja disinfeksi (sucihama) terhadap troli, alat permainan dan bangku yang terdapat di premis dengan menggunakan larutan klorox pada nisbah 1:10," kata kenyataan yang dikeluarkan pihak Pejabat Kesihatan negeri itu kepada pihak Queensbay Mall pada 13 Julai lalu. 


Penyakit HFMD boleh tersebar melalui hingus, air liur, najis dan cecair dari orang yang dijangkiti. Antara simptom-simptom yang dihidapi oleh pesakit HFMD adalah seperti demam, sakit tekak, ulser mulut, ruam dan kelesuan. Penyakit ini sangat cepat menular dalam kalangan kanak-kanak.

Walaubagaimanapun, kes yang dilaporkan pada Rabu lalu telah menurun. Dr Afif Baharudin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri berkata bilangan kes telah menurun dalam jangka masa tiga hari berturut-turut.

“Kami mencatatkan 78 kes pada hari Rabu, kemudian 52 dan 51 kes pada hari Khamis dan Jumaat. Walaubagaimanapun bilangan kumulatif kes ini masih lagi tinggi dengan 2,341 kes untuk tahun ini jika dibandingkan dengan 1,099 kes pada tahun 2017 di dalam tempoh yang sama.”

Dr Afif juga berkata 30 premis kini masih ditutup semenjak penularan wabak pada awal bulan ini termasuk 10 tadika, 7 nurseri, 6 sekolah rendah,6 pra sekolah dan sebuah pusat jagaan.

Antara sekolah yang masih ditutup ialah SK Sungai Bakap, SJKC Sum Min 1, SK Saujana Indah, SJKC Moh Ghee Pusat, SJKC Beng Teik and SJKC Kwang Hwa.

Sehingga kini, 9 orang mangsa dilaporkan sedang mendapat rawatan di hospital. Beliau juga mengulas tentang dakwaan dalam media sosial yang kononnya ada mangsa meninggal dunia disebabkan HFMD. Dr Afif berkata tiada sebarang pengesahan mengenai isu itu dan sekarang beliau masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Kesihatan.

Justeru itu, kita sebagai ibu bapa harus mengambil langkah pencegahan agar penyakit ini dapat dicegah dengan sebaik mungkin.

Sumber: The Reporter

Tuesday, July 17, 2018

Dilabel Pengacara Gedik, Janna Nick Terima Segala Kritikan


PETALING JAYA: Pelakon Janna Nick menghargai kritikan yang membina dan menghormati pendapat orang lain kerana dia ingin menjadi lebih baik.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 23, berkata dia percaya ada cara yang lebih baik untuk memberi kritikan atau mesej dan dia terbuka untuk menerimanya.

"Saya hormat pendapat orang lain dan hargai kritikan membina. Sebab saya mahu memperbaiki diri menjadi lebih baik.

"Saya percaya sentiasa ada cara untuk menghantar mesej itu secara positif dan saya terbuka untuk terimanya," tulis Janna menerusi laman Twitter miliknya pada Selasa.


Status yang dimuat naik Janna pada Selasa.


Janna memuat naik status tersebut selepas beberapa hari pelakon Syazwan Zulkifly mengkritik cara dia mengendali program Melodi pada Ahad lalu.

Rata-rata pengikut di laman sosial Janna turut memberi kata-kata semangat dan positif.

Sebelum ini, Syazwan meluahkan rasa kurang senangnya terhadap pengacara Melodi yang mengacarakan program tersebut dan menyamakan industri hiburan dengan 'monyet'.

Malah, pelakon Aiman Hakim Ridza turut meninggalkan komen memberi pandangan yang sama dan menganggap pengacara program itu tidak tahu menghormati orang lain.


Syazwan dan Aiman mengkritik pengacara Melodi yang dipercayai Janna.

"Betul. Pengacara Melodi hari ini (Ahad) tak hormat orang (kebanyakkan). Syok sendiri dengan lawak b*d*h. Sangat tidak matang," tulis Aiman.

Menerusi temu bual bersama mStar Online pada Selasa, Syazwan bagaimanapun memohon maaf sekiranya kata-katanya menguris hati Janna dan peminat pengacara itu.

Rancangan hiburan mingguan itu disiarkan setiap hari Ahad pukul 12 tengahari di TV3 menampilkan Janna Nick serta Ajak Shiro sebagai hos.

Sumber: Mstar Online